KUALA LUMPUR 15 Sept — Malaysia perlu memberi tumpuan kepada transformasi pekerja dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan mereka bukan sekadar menguasai kemahiran baharu, malah menyesuaikan diri dengan perubahan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi automasi, kata Asia School of Business.
Jelasnya, daya saing ekonomi Malaysia bukan hanya bergantung kepada keupayaan menarik pelaburan dan menerima pakai teknologi baharu, tetapi turut kepada keupayaan tenaga kerja tempatan menyesuaikan diri dengan perubahan peranan serta peluang pekerjaan.
Menurutnya, kerajaan perlu mengutamakan pelaburan modal insan bagi membantu pekerja memperoleh kemahiran baharu, beralih kepada peranan baharu dan bekerjasama dengan teknologi yang semakin berkembang.
“Teknologi mengubah cara bekerja, tetapi persoalannya adakah pekerja kita bersedia berubah,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Akademik Asia School of Business, Profesor Madya Ekonomi serta Pengarah Fakulti ASEAN Research Center, Melati Nungsari.
Tambahnya, Malaysia sudah membuat pelaburan besar dalam infrastruktur dan pendigitalan, namun pendekatan sama perlu diberikan kepada tenaga kerja bagi memastikan rakyat terus mencipta nilai dalam persekitaran pekerjaan yang berubah.
Mereka mencadangkan insentif cukai kepada majikan melaksanakan program peningkatan semula kemahiran yang lebih bermakna, dengan insentif dikaitkan kepada hasil seperti peningkatan produktiviti, kemajuan kerjaya dan pertumbuhan gaji, bukannya berdasarkan jumlah jam latihan semata-mata.
Pada masa sama ujarnya, penggunaan levi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) perlu diberikan lebih fleksibel bagi menyokong golongan profesional pertengahan kerjaya, pendidikan eksekutif serta bidang baharu termasuk AI, transformasi digital dan kepimpinan.
“Kami turut menggesa kerajaan membantu syarikat mereka bentuk semula pekerjaan, bukannya sekadar menggantikannya apabila AI dan automasi diperkenalkan, termasuk melalui insentif bagi pelan peralihan tenaga kerja yang merangkumi penempatan semula dan latihan semula pekerja,” katanya.
Ujar Asia School of Business, kerjasama antara industri dan institusi pendidikan juga perlu diperkukuh bagi mengenal pasti kemahiran baharu serta membangunkan program lebih pendek dan praktikal yang boleh bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan keperluan industri.
Cadangan itu turut berdasarkan pengalaman bersama rakan korporat dan kerajaan menerusi program pendidikan eksekutif, yang menunjukkan permintaan semakin meningkat terhadap kemahiran kepimpinan, kefahaman digital dan keupayaan AI gunaan ketika organisasi melalui transformasi tenaga kerja.
Matlamat utama jelasnya, bukan sekadar melatih lebih ramai pekerja, tetapi memastikan rakyat Malaysia terus mampu mencipta nilai apabila sifat pekerjaan berubah, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi dan mampan menerusi Belanjawan 2027.
Originally published by Newswav and DagangNews