KUALA LUMPUR: Unjuran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang menunjukkan ekonomi berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, mendorong keyakinan terhadap keteguhan ekonomi negara, kata Profesor Ozer Karagedikli.
Karagedikli yang juga Professor of Practicedan Pengarah Pusat Penyelidikan Perbankan Pusat di Asia School of Business (ASB) itu berkata, Malaysia mempunyai potensi ekonomi yang besar, justeru kadar pertumbuhan ini mungkin boleh dicapai.
Bagaimanapun, beliau dalam kenyataan hari ini menegaskan situasi ini adalah kompleks.
“Ini tidak mudah. Penilaian saya adalah trend kadar pertumbuhan Malaysia mungkin berada dalam julat 4.0 hingga 5.5 peratus, iaitu julat yang luas.
“Mencapai kadar pertumbuhan yang konsisten hampir 6.0 peratus tahun demi tahun adalah munasabah, tetapi mungkin menghadapi cabaran tanpa pembaharuan ketara untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi,” katanya.
Beliau turut menekankan ketidaktentuan ekonomi global boleh menimbulkan risiko kepada prospek ekonomi Malaysia.
“Angka KDNK terkini mewujudkan banyak aspek untuk dibincangkan oleh ahli ekonomi sektor kewangan.
“Bagaimanapun, bagi pembuat dasar dan orang ramai, cabaran sebenar terletak dari segi mengekalkan kadar pertumbuhan itu dari masa ke masa. Ini adalah sesuatu yang kita harapkan,” kata Karagedikli.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 19 Julai mengumumkan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya.
Ia merupakan pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 yang mencatatkan 7.4 peratus.
Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan data rasmi KDNK suku kedua 2024 pada Jumaat.
Originally published by Berita Harian.