KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 peserta terdiri daripada ahli statistik, ahli akademik dan penyelidik dari pelbagai agensi secara fizikal serta dalam talian menyertai Persidangan Statistik Malaysia (MyStats) ke-11 2024 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini pada Khamis.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, persidangan ini merupakan antara platform yang membolehkan para perangkawan, penyelidik, ahli akademik dan pengguna data untuk memahami dan membincangkan hal berkaitan pengurusan data dan sosio ekonomi semasa di samping perkembangan teknologi yang semakin maju pada hari ini.
“Saya berkeyakinan bahawa melalui kertas pembentangan MyStats pada hari ini, kita dapat menambah input-input yang signifikan bagi memperkukuh proses asimilasi kecerdasan buatan di negara kita.
“Dengan menggunakan data yang kaya dan analitik mendalam, kita dapat membuat keputusan lebih baik, meningkatkan kecekapan dan menginovasi dalam pelbagai bidang, yang semuanya membawa kepada peningkatan kualiti hidup dan pembangunan berterusan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada persidangan tersebut dianjurkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Institut Statistik Malaysia dengan tema “Data dan Kecerdasan Buatan: Memperkasa Masa Depan” di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Marzunisham Omar.
Sementara itu, menurut Mohd Uzir, tema persidangan kali ini mencerminkan peranan yang semakin meningkat dalam menggabungkan teknologi dan data untuk mencipta inovasi serta meningkatkan keberkesanan dalam pelbagai sektor di negara kita.
Jelasnya, ia bertujuan menyediakan platform untuk ahli statistik, penyelidik, ahli ekonomi, pembuat dasar, ahli akademik untuk mengetengahkan idea baharu dan meningkatkan pemahaman bersama dalam bidang statistik, selain mewujudkan jalinan kerjasama dan rangkaian yang lebih baik.
“Ini dapat meningkatkan lagi keberkesanan analisis dan penggubalan dasar kerajaan yang dibuat berdasarkan fakta.
“MyStats ialah platform untuk mengumpulkan ahli statistik, pembuat dasar dan pengamal statistik terkenal yang memberikan pelbagai manfaat kepada komuniti statistik,” ujarnya pada persidangan berkenaan.
Terdahulu, persidangan bermula dengan sesi ucap tama yang membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan tema persidangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif juga merupakan Presiden Asia School of Business, Profesor Sanjay Sarma.
Persidangan kemudiannya diteruskan dengan dua sesi forum menghuraikan perihal gaji progresif dengan membincangkan pandangan majikan dan penyelidik berkaitan pelaksanaan gaji progresif dan komitmen kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.
Pengenalan dasar baharu ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu perintah gaji minimum dan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti (Productivity Linked-Wage System – PLWS).
Forum kedua adalah mengenai kecerdasan buatan (Al) dan dilema kehilangan pekerjaan bagi membincangkan berkenaan kecerdasan buatan (Al) yang telah membawa perubahan besar dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Selain itu, persidangan ini turut mengiktiraf sumbangan pengamal statistik melalui anugerah “Mystats The Best Young Statistician Presenter”, “The Best Oral Presenter” dan “The Best Poster Presenter” sebagai penghargaan dalam mengiktiraf bakat mereka dari segi penyelidikan dan penghasilan statistik berimpak tinggi.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagal data, OpenDOSM NextGen adalah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.
Dalam masa sama, DOSM sedang menjalankan banci pertanian dan juga survei pendapatan dan perbelanjaan (HIES) POSM juga akan menyambut Hari Statistik Negara pada bulan hadapan dan Sambutan Jubli Intan Ke-75 Tahun DOSM yang akan berlangsung di Pulau Pinang November ini.
Originally published by Sinar Harian.