Dalam dunia yang sering dilanda krisis kepimpinan, sejarah menawarkan panduan yang tidak lapuk ditelan zaman. Salah satu contoh terbaik ialah surat Sayidina Ali bin Abi Talib kepada Malik Ashtar, Gabenor Mesir pada abad ketujuh. Surat ini adalah bukti kepada pemerintahan beretika dan kepimpinan berteraskan khidmat, yang terus relevan merentasi zaman dan budaya.
Pengajaran daripadanya bukan sahaja sesuai untuk para gabenor dan khalifah terdahulu tetapi juga kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pembuat dasar masa kini. Surat Ali yang merupakan sebahagian daripada Nahj al-Balagha, menggariskan kerangka kepimpinan yang adil dan berkesan.
Dari aspek kepimpinan berteraskan khidmat, ketelusan, keadilan, hingga ke rendah hati, prinsip-prinsip yang diketengahkan masih menjadi tunjang dalam amalan kepimpinan moden. Surat ini bukan sekadar teks sejarah, tetapi panduan berharga bagi pemimpin hari ini dalam menguruskan pemerintahan dengan integriti dan belas ihsan.
Kepimpinan sebagai khidmat
Memahami konteks dan warisan
Ali menasihatkan Malik untuk mengambil iktibar daripada pemimpin terdahulu, baik yang adil mahupun zalim:Â “Orang ramai akan menilai kamu berdasarkan bagaimana kamu menilai pemimpin sebelumnya.” Nasihat ini menekankan kepentingan memahami konteks dalam kepimpinan, mengenali latar sejarah dan harapan masyarakat serta menghormati kejayaan terdahulu sambil membina ke arah masa depan.
Bagi pemimpin moden, kebijaksanaan ini boleh digunakan dalam membentuk strategi berdasarkan budaya organisasi masing-masing sambil mengiktiraf sumbangan pemimpin sebelum ini. Pendekatan sebegini membantu memastikan kesinambungan, kestabilan dan kredibiliti dalam kepimpinan.
Meritokrasi mengatasi kronisme
Salah satu pengajaran paling penting dalam surat ini adalah seruan kepada kepimpinan berasaskan merit. Ali menasihatkan Malik agar melantik pemimpin berdasarkan integriti dan kecekapan, bukan hubungan peribadi:Â “Jangan lantik mereka kerana pilih kasih atau kepentingan peribadi.”
Dalam dunia hari ini, nepotisme sering merosakkan sistem pemerintahan dan pengurusan, prinsip ini menjadi peringatan bahawa kepimpinan harus berdasarkan kebolehan dan keperibadian seseorang. Pelantikan yang telus dan berasaskan merit akan mewujudkan kepercayaan, mengurangkan rasuah dan menghasilkan keputusan yang lebih baik.
Menghargai sumbangan
Ali menegaskan kepentingan memberi ganjaran yang adil kepada mereka yang berkhidmat:Â “Hargailah prestasi setiap orang dan jangan kurangkan ganjaran di bawah tahap usaha mereka.” Prinsip ini menekankan keperluan untuk memberikan penghargaan secara adil, bagi memastikan keterlibatan dan motivasi dalam kalangan pekerja.
Organisasi yang berjaya hari ini bergantung pada sistem ganjaran yang saksama. Pendekatan ini membentuk budaya keadilan dan motivasi di mana setiap individu merasa dihargai atas sumbangan unik mereka.
Keadilan dan kesaksamaan
Keadilan adalah tunjang dalam falsafah kepimpinan Ali, katanya:Â “Terapkan keadilan kepada keluarga dan sahabatmu sebagaimana kepada orang lain. Teruskan itu dengan harapan hanya kepada ganjaran daripada ALLAH.”
Pemimpin diingatkan untuk menegakkan keadilan secara konsisten, walaupun ia mencabar hubungan peribadi atau struktur kuasa sedia ada. Keadilan yang teguh bukan sahaja memperkukuhkan pemerintahan, tetapi juga membina kepercayaan dalam masyarakat.
Ketelusan dan keterbukaan
Ali menegur pemimpin yang mengasingkan diri daripada rakyatnya:Â “Jangan menyendiri daripada rakyatmu. Pengasingan ini hanya akan membawa kepada kejahilan terhadap keadaan mereka.”
Pemimpin harus sentiasa berhubung dengan rakyat dan memastikan aduan serta keperluan mereka didengari secara terbuka. Dalam konteks kepimpinan hari ini, ia bermakna mengamalkan dasar pintu terbuka, komunikasi yang kerap dan penglibatan aktif dengan pemegang taruh. Keterbukaan ini meningkatkan akauntabiliti dan membina hubungan yang lebih kukuh antara pemimpin dan mereka yang dipimpinnya.
Belas kasihan dan kemaafan
Ali turut menekankan kepentingan belas kasihan dalam kepimpinan:Â “Maafkanlah mereka sepertimana kamu ingin ALLAH mengampunimu.” Kepimpinan yang berlandaskan empati dan pemahaman akan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni dan inklusif.
Kajian moden menunjukkan bahawa pemimpin yang empati lebih cenderung membentuk organisasi yang inovatif dan berdaya tahan. Dengan menangani konflik melalui pendamaian dan bukan hukuman, pemimpin mencipta budaya hormat-menghormati dan kerjasama.
Seruan kepada kepimpinan beretika
Dalam dunia yang mendambakan kepimpinan yang beretika dan transformasi, nasihat Ali kepada Malik Ashtar menjadi cahaya panduan yang merentasi zaman dan budaya. Dari menekankan kerendahan hati dan memastikan keadilan hingga menegakkan ketelusan, prinsip-prinsip ini memberikan hala tuju kepada pemimpin yang menghadapi cabaran dalam pentadbiran, perniagaan dan masyarakat.
Surat ini mengingatkan kita bahawa kepimpinan yang sebenar bukanlah tentang mengumpul kuasa, tetapi tentang memperkasakan orang lain. Sama ada dalam bilik mesyuarat korporat atau pejabat kerajaan, nilai khidmat, keadilan dan belas kasihan tetap relevan sepanjang zaman.
Dr. Wan Hamiza Wan Muhd Zin merupakan Penolong Pengarah Pendidikan Eksekutif, Asia School of Business
Originally published by Sinar Harian.