KUALA LUMPUR: Tun Ismail Ali Centre of Excellence (TIACOE) dilancarkan secara rasmi hari ini boleh menjadi suara peneraju dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan di rantau ini dan global, demikian harapan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour

Beliau berkata, ia terutamanya dalam pelbagai bidang yang telah lama dipelopori dan diperjuangkan.

Katanya, bagi tujuan itu, BNM komited untuk memajukan wacana dasar global dalam bidang yang sesuai untuk diterokai seperti pemecahan geoekonomi, perubahan iklim, kecerdasan buatan dan kewangan Islam.

Menurutnya, pusat kecemerlangan itu ditubuhkan atas komitmen berterusan BNM terhadap penyelidikan berkaitan dasar dan pembangunan institusi.

“Sebelumnya dikenali sebagai Kursi Tun Ismail Ali yang ditempatkan di Universiti Malaya, TIACOE kini telah bergabung dengan Asia School of Business (ASB) Central Banking Research Centre dan akan terus beroperasi di bawah ASB.

“Hal ini mencerminkan evolusi daripada aspek cita-cita dan skop, memperluas warisan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dalam bidang monetari dan ekonomi kewangan,” katanya pada pelancaran rasmi TIACOE sempena ulang tahun ke-10 ASB, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pengasas dan Pengerusi Bersama Lembaga Pengelola ASB dan Bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

TIACOE adalah pusat penyelidikan khusus yang bertujuan untuk memajukan kesarjanaan dan kepimpinan pemikiran dalam ekonomi monetari dan kewangan.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, sejak penstrukturan semula pada hujung tahun lalu, TIACOE menghimpunkan sarjana dan pengamal terkemuka untuk membincangkan dan menangani isu dasar yang mendesak seperti perubahan dinamik sistem monetari antarabangsa, kaitan antara makroekonomi dengan kewangan serta cabaran dasar monetari.

Beliau berkata, kesemua usaha itu menunjukkan peranan TIACOE dalam menghubungkan penyelidikan dengan isu dunia nyata yang dihadapi oleh pembuat dasar, terutamanya ahli bank pusat.

“Seperti yang sewajarnya, TIACOE diinspirasikan oleh seorang tokoh yang intelek, kebijaksanaan, integriti, etika kerja, dan dedikasi beliau terhadap pembangunan negara menjadi amalan dan masih kekal sebagai tanda aras kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.

“Setelah sekian lama, amalan beliau terus mengilhamkan kita untuk meneroka sempadan baharu dalam usaha mencapai kemajuan untuk rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Zeti dalam ucapannya berkata, banyak perkembangan yang menjejaskan seperti krisis iklim, peperangan besar dan pandemik dilihat memberi kesan ekonomi yang besar.

Katanya, pada masa sama, berlaku perubahan dasar utama dalam ekonomi maju, serta kemajuan transformatif dalam teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), yang turut membawa cabaran penting yang perlu diuruskan.

Justeru, tegasnya, menjadi lebih penting daripada sebelumnya untuk membina daya tahan dan mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan jika ingin mencapai kemakmuran bersama.

“Ia juga penting bahawa dalam persekitaran yang sangat dinamik dan sentiasa berubah, pemahaman dan keupayaan inovasi dalam monetari dan kewangan terus menjadi maju dan diaplikasikan,” katanya.