KUALA LUMPUR, 12 September – Penerapan Kecerdasan Buatan (AI) dalam operasi perniagaan berpotensi melonjakkan tahap produktiviti firma-firma di rantau ASEAN sehingga tiga kali ganda dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurut Profesor Amalan AI dan Teknologi, Asia School Of Business, Profesor David Asirvatham, perkembangan pesat AI berupaya melonjakkan hasil pendapatan syarikat serta meningkatkan kemakmuran ekonomi serantau.
”Untuk mengoptimumkan manfaat teknologi ini, negara-negara ASEAN perlu membangunkan kerangka pengawalseliaan data bersama, agar sumber dapat dikongsi secara lebih menyeluruh dan pertumbuhan dapat dicapai secara kolektif.
“Dengan bekerjasama, kita mampu memperkukuh kekuatan serantau dalam menghadapi revolusi AI,” katanya selepas bersiaran secara langsung dalam Program Biz Malaysia di Angkasapuri di sini.
Peranan AI dalam bidang pendidikan juga harus diperkasa dengan menyepadukannya dalam setiap modul pembelajaran, agar generasi muda lebih bersedia.
Katanya, teknologi itu seharusnya digunakan untuk meningkatkan kemahiran melalui inovasi dan kreativiti, dan bukan sebaliknya.
“Pelajar perlu diajar bagaimana menggunakan AI secara bijak, bukan sekadar menjadikan ia alat untuk menghasilkan tugasan, tetapi sebagai platform pembelajaran bagi menambah ilmu dan kemahiran,” tambah beliau.