PETALING JAYA: Pendekatan wilayah dilihat sebagai jalan tengah yang lebih adil dan inklusif dalam pelaksanaan Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), sekali gus mampu melindungi kepentingan kira-kira 250,000 pekebun kecil dalam industri sawit negara.
EUDR yang dikuatkuasakan oleh Kesatuan Eropah (EU) bertujuan membendung perubahan iklim global dengan menyekat import produk pertanian yang dikaitkan dengan aktiviti penebangan hutan.
Bagaimanapun, standard ketat yang ditetapkan peraturan itu dibimbangi boleh mendiskriminasi pekebun kecil Malaysia yang tidak mempunyai akses kepada teknologi atau sumber untuk memenuhi keperluan pelaporan dan pengesanan ditetapkan.
Pensyarah Kanan di Asia School of Business (ASB), Dr. Pieter E. Stek berkata, struktur rantaian bekalan minyak sawit tempatan yang bersifat berlapis dan tidak formal menyukarkan proses penjejakan hingga ke peringkat ladang kecil.
Katanya, situasi itu menyebabkan pekebun kecil berisiko disingkirkan daripada pasaran Eropah walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam penebangan hutan.
“Sebagai alternatif, Malaysia wajar memperjuangkan pendekatan wilayah seperti 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) sedia ada dalam rundingan pelaksanaan EUDR.
“Bagi kawasan berisiko rendah yang mencatat kadar penebangan minimum, pekebun kecil boleh dianggap patuh secara automatik.
“Pendekatan ini lebih praktikal dan adil kepada pekebun kecil yang sekian lama menjadi tulang belakang rantaian bekalan sawit negara.
“Kami tidak menolak EUDR, tetapi pelaksanaannya harus mengambil kira realiti di lapangan, terutamanya bagi negara pengeluar,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Profesor Madya Pengurusan Operasi dan Rantaian Bekalan serta Pengarah Center for Sustainable Small-owners (CSS) ASB, Dr. Asad Ata berkata, cadangan itu juga berpandukan kepada faktor logistik, memandangkan buah tandan segar sawit perlu diproses dalam tempoh 24 jam.
“Keadaan ini mengehadkan penghantaran buah sawit dalam radius antara 50 hingga 100 kilometer dari ladang ke kilang, sekali gus menjadikan kawasan jauh dari hutan sebagai zon berisiko rendah terhadap penebangan baharu.
“Dengan pemantauan elektronik di jalan utama dan pelaksanaan sistem hibrid di kawasan berisiko tinggi, pendekatan wilayah mampu mengimbangi keperluan pemeliharaan alam sekitar dan kelangsungan hidup pekebun kecil,” ujarnya.
Tambah beliau, EU juga digesa mempertimbangkan pendekatan kawal selia secara bersama dengan negara pengeluar.
“Kerjasama ini diharap dapat memanfaatkan infrastruktur sedia ada seperti SPOC dan mengukuhkan pematuhan tanpa mewujudkan halangan sistemik terhadap eksport dari negara membangun,” katanya.
Originally published by Utusan Malaysia.