KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus membina daya tahan dan mengekalkan kestabilan monetari serta kewangan untuk mencapai kemakmuran bersama.
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata perubahan dasar besar di ekonomi maju, selain kemajuan pesat teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) telah membawa cabaran besar yang perlu ditangani.
“Dalam persekitaran yang sangat dinamik dan sentiasa berubah, adalah penting supaya pemahaman tempatan dan keupayaan inovasi kita dalam ekonomi monetari dan kewangan terus diperkembangkan dan diaplikasikan,” katanya dalam ucapan pembukaan majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali (TIACOE) di Asia School of Business, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Pengasas dan Pengerusi Bersama, Lembaga Gabenor, Asia School of Business berkata, TIACOE ditubuhkan untuk terus memelihara legasi Tun Ismail Ali serta memperkukuh pengetahuan akademik dan profesional dalam bidang ekonomi kewangan dan monetari, khususnya di rantau ini.
“Dalam zaman yang penuh ketidaktentuan dan ketidakstabilan ini, kita telah menyaksikan pelbagai gangguan perkembangan. Daripada krisis iklim, tercetusnya peperangan besar, hinggalah kepada penularan pandemik yang semuanya membawa kesan besar kepada ekonomi,” katanya.
Justeru, TIACOE dihasratkan untuk mencapai tiga matlamat sebagai sebahagian daripada mandatnya iaitu memajukan penyelidikan dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan.
Ini selain meningkatkan keupayaan institusi pengajian tinggi tempatan dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan serta meluaskan jangkauan melalui penglibatan yang lebih erat dengan ahli akademik tempatan, industri swasta, pelajar dan orang awam.
Originally published by TV3.