Asia School of Business

Edit Content
Executive Education

Ketabahan, Integriti, Visi Jangka Panjang Rahsia LBS Bertahan 65 Tahun

PETALING JAYA: Ketabahan, integriti, dan visi jangka panjang adalah antara rahsia utama yang memacu kelangsungan LBS Bina Group Bhd (LBS) dalam mengharungi cabaran industri pembangunan hartanah di Malaysia.

Perkara ini dikongsikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Dr Lim Hock San yang menelusuri perjalanan evolusi syarikat daripada permulaan yang sangat sederhana sehinggalah ia diiktiraf sebagai antara nama yang paling dihormati hari ini.

Beliau mendedahkan perkara berkenaan ketika dijemput sebagai tokoh terkemuka industri hartanah untuk menyampaikan syarahan kepimpinan bertajuk ‘The Journey of Entrepreneurship and Family Legacy of LBS’ di Asia School of Business, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut LBS, sesi perkongsian ilmu yang bernilai itu dianjurkan oleh Institute of Management and Leadership Development Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dengan kerjasama institusi antarabangsa, Cheung Kong Graduate School of Business (CKGSB).

Sambutan ulang tahun LBS yang ke-65 pada tahun ini menjadi bukti ketahanan perniagaan mereka dalam usaha berterusan membina kediaman dan komuniti untuk rakyat Malaysia.

Pertumbuhan mampan ini dipacu oleh pegangan kukuh syarikat terhadap etosnya yang berpaksikan prinsip ‘Believe, Become and Behold’.

Menyentuh mengenai nilai-nilai teras yang membimbing pertumbuhan kumpulan, Hock San dipetik sebagai berkata: “Ketabahan, integriti dan visi jangka panjang adalah kunci utama, di samping penekanan terhadap kepentingan membangunkan komuniti yang mampan.”

Bukti akauntabiliti dan kecemerlangan operasi syarikat di bawah kepimpinan beliau dapat dilihat melalui pencapaian luar biasa kumpulan yang merangkul pelbagai anugerah peringkat tinggi.

Paling membanggakan, LBS berjaya meraih pengiktirafan Status Emas selama empat tahun berturut-turut dalam ‘Malaysia’s Best Managed Companies Awards’ oleh firma audit antarabangsa, Deloitte.

Pengesahan pihak ketiga ini dengan jelas menonjolkan kekuatan struktur tadbir urus, ketepatan visi strategik, serta tahap kecemerlangan operasi yang diamalkan oleh kumpulan.

Selain memfokuskan kepada pencapaian korporat, pengerusi eksekutif itu turut menyentuh komitmen peribadinya terhadap masyarakat yang melangkaui dunia perniagaan.

Melalui peranan kepemimpinannya dalam Persekutuan Persatuan-Persatuan Keturunan Lim Malaysia dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia, beliau komited dalam menggalakkan pemeliharaan warisan budaya, memperkukuh ikatan komuniti serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Originally published by Berita Harian.
Also published in Berita Harian (Print), Lumi News Malaysia and Harian Metro.