Asia School of Business

Edit Content

Impak teknologi AI semakin nyata, mula gantikan pekerja – Pakar

KUALA LUMPUR: Kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pasaran kerja adalah nyata dengan kesannya terhadap pemberhentian kerja dalam segmen tertentu, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Presiden dan Dekan Asia School of Business, Prof Sanjay Sarma.

Beliau berkata, ada syarikat teknologi telah membangunkan pembantu AI yang boleh menggantikan pekerjaan di pusat panggilan.

Katanya, teknologi itu boleh beroperasi di 23 pasaran dengan berkeupayaan dikendalikan dalam 35 bahasa, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Malah, jelasnya, teknologi AI itu juga berjaya melayani pelanggan dengan lebih pantas, dengan masa penyelesaian menurun kepada dua minit daripada 11 sebelumnya dan terdapat juga penurunan sebanyak 25 peratus dalam pertanyaan berulang.

“Ia menggantikan kerja 700 ejen sepenuh masa,” katanya pada sesi plenari bertajuk ‘Data dan Kecerdasan Buatan: Memperkasa Masa Depan’ di sini, hari ini.

Sidang plenari itu sempena Persidangan Statistik Malaysia (MyStats) ke-11 2024 yang bertemakan ‘Data dan Kecerdasan Buatan: Memperkasa Masa Depan’ anjuran secara bersama antara Jabatan Perangkaan Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Institut Statistik Malaysia.

Sanjay berkata, syarikat AI itu dianggarkan menjana keuntungan sehingga AS$40 juta dalam tempoh 20 tahun.

Justeru, katanya, kesan AI kepada pekerjaan adalah nyata.

“Kita berada di ambang sesuatu yang luar biasa, menakutkan, menggerunkan dan menakjubkan,” katanya.

Mengenai kesan kepada pasaran kerja di Malaysia, Sanjay berkata, impak AI ke atas pasaran kerja Malaysia akan sangat mengejutkan.

“Saya fikir Malaysia mempunyai, mungkin, lima tahun (sebelum AI memberi kesan kepada pekerjaan di negara ini),” katanya.

Lebih 1,000 peserta menghadiri MyStats kali ke-11 itu yang menjadi platform untuk ahli statistik, penyelidik, ahli ekonomi, pembuat dasar, ahli akademik untuk mengetengahkan idea baharu dan meningkatkan pemahaman bersama dalam bidang statistik, selain mewujudkan jalinan kerjasama dan rangkaian yang lebih baik.

Ia juga dapat meningkatkan lagi keberkesanan analisis dan penggubalan dasar kerajaan yang dibuat berdasarkan fakta. 

Originally published by Berita Harian.