Asia School of Business

Edit Content
Executive Education

892 Pekebun Kecil Peroleh Sijil RSPO- Laporan CSS 2025

KUALA LUMPUR 9 Julai – Seramai 892 pekebun kecil bebas berjaya sijil RSPO (Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan) dengan sebahagian daripada mereka mencatat purata peningkatan hasil sebanyak 20% hingga 25% dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan sehungga 35% dalam tempah tiga hingga empat tahun.

Pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan Program Pekebun Kecil P&G yang dinyatakan dalam Laporan Impak Lestari (CSS) 2025 yang diterbitkan oleh Asia School of Business dengan kerjasama MIT Sloan baru-baru ini.

Menurut laporan itu, seramai 407 pekebun kecil bertauliah telah menerima premium berkaitan kelestarian sebanyak AS$68,175 dari tahun 2021 hingga 2024.

“Program itu juga berjaya memperkasakan komuniti di Johor melalui penubuhan dan sokongan kepada PERTANIAGA iaitu persatuan yang dipimpin oleh pekebun kecil bebas yang kini mempunyai seramai 892 ahli, dengan 38% daripada barisan kepimpinannya terdiri daripada wanita. 

“Persatuan itu kini menjadi model untuk tadbir urus inklusif dan berkesan di peringkat akar umbi,” menurut laporan tersebut.

Kecemerlangan yang berjaya dicapai melalui program tersebut juga melibatkan kelestarian alam sekitar melalui pengurusan sisa, pemantauan tanah gambut dan penjejakan bahan kimia yang mampan.

Selain itu, program CSS turut menyokong lebih 1,100 ladang dalam melaksanakan Amalan Pertanian Baik yang selari dengan dasar RSPO dan NDPE.

Laporan itu memaklumkan sebanyak 1,106 ladang bertauliah telah dijejaki dan disahkan melalui program tersebut sekali gus meningkatkan ketelusan dan mempersiapkan pekebun kecil untuk mematuhi peraturan global seperti Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Program Pekebun Kecil P&G adalah kerjasama antara Asia School of Business, syarikat Procter & Gamble (P&G) dan Yayasan Temasek. 

Ia bertujuan mempromosikan Amalan Pertanian Baik dan Mampan, serta menyokong pengeluaran minyak sawit mampan yang diperakui dalam kalangan pekebun kecil bebas di Malaysia.

Ketua Program Iklim & Kehidupan Lestari, Yayasan Temasek, Heng Li Lang berkata, laporan itu membuktikan kepentingan sokongan dan kerjasama berterusan dalam membantu pekebun kecil membina sumber pendapatan yang lebih berdaya tahan dengan amalan pertanian yang lebih baik. 

“Kami berbesar hati kerana dapat menyokong pendekatan yang bukan sahaja mengangkat martabat pekebun kecil, malah turut mengurangkan kesan pengeluaran minyak sawit terhadap alam sekitar dalam jangka masa panjang,” katanya. 

Sementara itu, Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif & Dekan Asia School of Business, Professor Joe Cherian berkata, laporan itu memberi penekanan terhadap kepentingan kerjasama antara institusi akademik dan industri dalam usaha mengangkat martabat komuniti yang kurang mendapat perhatian.

“Ia menunjukkan bagaimana pensijilan, sama ada RSPO atau standard kemampanan negara berupaya memupuk perlindungan alam sekitar dan memacu ketahanan ekonomi yang tulen dalam kalangan pekebun kecil. 

“Kami berbesar hati dengan kerjasama antara Asia School of Business, P&G dan Yayasan Temasek yang telah terjalin sejak sekian lama dan berjaya mencapai kejayaan yang berimpak tinggi.

“Kami tidak sekadar memfokuskan kepada aspek pensijilan, malah turut meraikan perubahan sebenar yang dibawa kepada kehidupan dan komuniti pekebun kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah CSS, Professor Asad Ata pula berkata, laporan tahun ini menunjukkan bahawa impak pensijilan tidak hanya melibatkan pekebun kecil sahaja, tetapi turut melibatkan keluarga, komuniti, dan alam sekitar mereka.

“Pekebun kami kini menjadi jurucakap kepada Amalan Pertanian Baik dan Mampan, daripada pengurusan sisa dan tanah gambut, hinggalah kepada pengurusan nutrien tanah yang lebih baik mengikut kitaran penanaman masing masing. 

“Kami bercadang mahu mengembangkan model inklusif ini ke seluruh kawasan lain di Malaysia, dengan kerjasama rakan penganjur dan penaja yang berkongsi matlamat serupa,” katanya.

Malaysia adalah negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dengan lebih 275,000 pekebun kecil bebas yang turut menyumbang kepada industri tersebut.

Berbeza dengan pekebun kecil tersusun, pekebun kecil bebas mengurus ladang kecil secara individu dan mempunyai akses yang terhad kepada ilmu pengetahuan, teknologi dan bimbingan.

Laporan Impak CSS 2025 yang penuh boleh diakses di sini.

Originally published by DagangNews.