Kuala Lumpur: Sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan bagi meneliti keseluruhan aspek berkaitan pembentukan One Higher Education Act (Akta Pendidikan Tinggi Tunggal) susulan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata jawatankuasa itu akan melihat pelbagai aspek berkaitan akta baharu bagi memastikan ia memenuhi keperluan pendidikan tinggi semasa dan masa depan.
“Dalam mesyuarat Kabinet semalam, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Kabinet mengambil maklum mengenai keputusan untuk memansuhkan AUKU, tetapi pada masa sama perlu ada akta baharu, iaitu One Higher Education Act.
“Justeru, kita akan melaksanakan beberapa langkah. Pertama, menubuhkan satu jawatankuasa bebas untuk melihat keseluruhan aspek akta baharu yang akan kita tubuhkan.
“Kedua, kita akan membabitkan semua pihak berkepentingan dan ketiga, menubuhkan satu kumpulan untuk membangunkan rang undang-undang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Persidangan Kebolehpasaran Graduan Pendidikan Tinggi (PKGKPT) 2026 dan Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Akademik Asia School of Business, Prof Madya Dr Melati Nungsari.
Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi ruang kebebasan yang lebih luas kepada mahasiswa.
Laksana Mekanisme Peralihan
Zambry berkata, kerajaan juga akan mewujudkan satu mekanisme peralihan bagi memastikan urusan perundangan institusi pendidikan tinggi tidak terjejas sepanjang proses pemansuhan AUKU dan penggubalan akta baharu berkenaan.
Menurutnya, proses dijangka mengambil masa dan memerlukan penelitian menyeluruh memandangkan AUKU merangkumi pelbagai aspek termasuk kepentingan mahasiswa, penubuhan universiti, tadbir urus, akademik dan kedudukan pensyarah.
“Saya tahu ada desakan supaya ia mesti diumumkan dalam sidang Parlimen tetapi ia bukan perkara yang kecil dan semata-mata melibatkan satu kelompok sahaja.
“AUKU ini akta induk bagi institusi pendidikan tinggi. Daripada 44 seksyen, ada yang menyentuh mengenai soal mahasiswa, penubuhan universiti, tadbir urus, akademik, kebebasan akademik dan kedudukan pensyarah.
“Jadi, apabila kita mahu menggantikannya, kita perlu melihat keseluruhan perkara itu dan bukan sekadar meletakkan nama akta sedangkan perkara lama masih ada,” katanya.
Mengenai garis masa proses berkenaan, beliau berkata, KPT telah memulakan pelaksanaan kerja di peringkat dasar bagi membangunkan One Higher Education Act.
“Kita perlu melihat keperluan masa kini dan juga masa hadapan sebelum merangka sebuah akta baharu. Saya harap semua boleh bersabar kerana dalam proses untuk mewujudkan akta yang baharu ini,” katanya.
Originally published by Berita Harian.