Asia School of Business

Global Inquiry, Local Heart

6 daripada 10 Keluarga Malaysia Sekadar Cukup Makan, Guna Simpanan atau Berhutang – Kajian WVS

KUALA LUMPUR 16 Nov – Kira-kira enam daripada 10 keluarga Malaysia masih berada dalam keadaan kewangan yang sekadar mencukupi untuk menampung kehidupan, terpaksa menggunakan simpanan atau meminjam wang, walaupun tahap kepuasan kewangan rakyat menunjukkan peningkatan ketara sejak 2018.

Dapatan Tinjauan Nilai Sedunia (World Values Survey, WVS) Edisi 8 menunjukkan keadaan itu dilaporkan dalam kedua-dua tinjauan pada 2018 dan 2025, sekali gus memperlihatkan bahawa peningkatan kepuasan terhadap kedudukan kewangan tidak semestinya bermakna semua isi rumah mempunyai lebihan wang untuk disimpan.

Menurut kajian yang dibentangkan Asia School of Business dan Monash University Malaysia pada Isnin, sebanyak 66% rakyat Malaysia berpuas hati dengan kedudukan kewangan mereka pada 2025, meningkat 18 mata peratusan berbanding 48% pada 2018.

Kepuasan kewangan meningkat tetapi kemampuan menyimpan masih menjadi persoalan

Ketua Jabatan Ekonomi Monash University Malaysia, Profesor Grace Lee Hooi Yean berkata, peningkatan kepuasan kewangan itu merupakan perkembangan positif, namun kemampuan keluarga menghadapi perbelanjaan tidak dijangka perlu turut diberikan perhatian.

“Dalam kedua-dua tinjauan, kira-kira enam daripada sepuluh responden berkata keluarga mereka sekadar cukup makan, terpaksa menggunakan simpanan atau meminjam wang dalam tempoh setahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bagi penggubal dasar, ukuran kemajuan yang lebih praktikal ialah sama ada semakin banyak keluarga mampu menyimpan wang bagi menampung perbelanjaan luar jangka, bukan sekadar bergantung kepada penilaian mereka terhadap kedudukan kewangan sendiri.

Kepuasan hidup rakyat Malaysia capai tahap tertinggi

Selain kewangan, tinjauan itu mendapati 79% rakyat Malaysia melaporkan tahap kepuasan hidup yang tinggi pada 2025, iaitu paras tertinggi yang pernah dicatatkan sepanjang pelaksanaan tinjauan berkenaan di negara ini.

Kehidupan keluarga dan rumah tangga mencatatkan tahap kepuasan tertinggi sebanyak 81.3%, manakala 70.5% responden yang bekerja menyatakan mereka berpuas hati dengan pekerjaan masing-masing.

Bagaimanapun, kajian tersebut turut mendapati tahap kebahagiaan yang dilaporkan sendiri oleh responden tidak menunjukkan peningkatan yang konsisten antara gelombang tinjauan, walaupun kepuasan hidup secara keseluruhan semakin baik.

Persepsi terhadap keadilan turut mempengaruhi pandangan tentang kejayaan

Dalam satu lagi analisis menggunakan dapatan tinjauan itu, penyelidik Asia School of Business mendapati rakyat Malaysia yang menganggap sumber masyarakat diagihkan secara tidak adil antara golongan berkuasa dengan golongan kurang berkuasa adalah 1.13 kali kurang berkemungkinan menghormati pihak berkuasa berbanding mereka yang melihat pengagihan sumber berdasarkan merit.

Sebaliknya, mereka yang percaya peraturan dikuatkuasakan dengan sewajarnya dan salah laku dikenakan hukuman adalah 1.53 kali lebih berkemungkinan menghormati pihak berkuasa, selain lebih cenderung mempercayai bahawa kemahiran boleh dibangunkan melalui usaha dan kerja keras.

Tinjauan WVS Edisi 8 yang menggunakan data 2025 itu merupakan sebahagian daripada kajian antarabangsa jangka panjang mengenai nilai dan pandangan masyarakat, dengan dapatan khusus Malaysia dibentangkan buat pertama kali oleh Asia School of Business dan Monash University Malaysia.

Originally published by Dagang News.