Asia School of Business

Global Inquiry, Local Heart

Bront Palarae genggam MBA selepas 16 bulan

KUALA LUMPUR: Pelakon Bront Palarae, 48, berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) selepas 16 bulan mengimbangi komitmen akademik dengan kerjaya lakonan.

Bront berkongsi berita gembira itu menerusi media sosial, sambil menyifatkan perjalanan akademiknya sebagai pengalaman yang intensif, meletihkan, namun amat bermakna.

Katanya, dia tidak melalui laluan akademik konvensional sebaliknya mengambil masa lima tahun untuk mencari peluang sebelum akhirnya diterima mengikuti pengajian menerusi laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Admission (APEL A).

“Lima tahun hanya untuk membuka pintu. Tiada laluan akademik konvensional. Banyak mengetuk pintu, mencari jalan dan akhirnya berjaya mendapatkan peluang menerusi APEL A,” tulisnya.

Selepas berjaya mendapatkan peluang itu, Bront perlu mengharungi tempoh 16 bulan yang dipenuhi tugasan, tarikh akhir, kerja berkumpulan, berjaga malam dan membina persahabatan baharu.

Pengajian berkenaan turut membawanya ke Massachusetts Institute of Technology (MIT), Boston, Amerika Syarikat selama tiga minggu, yang disifatkannya sebagai antara pengalaman paling mencabar sepanjang perjalanan akademik berkenaan.

“16 bulan terakhir sangat mencabar, merendahkan ego, meletihkan tetapi pada masa sama memberikan pengalaman yang sangat bermakna,” katanya.

Bront turut merakamkan penghargaan kepada rakan sekelas yang banyak membantu serta berkongsi ilmu sepanjang tempoh pengajian.

Katanya, pengalaman belajar bersama rakan-rakan memberikan banyak ilmu yang tidak terhad kepada pembelajaran di dalam bilik kuliah.

“Saya belajar sama banyak daripada semua rakan sekelas seperti yang saya pelajari di dalam kelas.

“Terima kasih atas kebaikan, kemurahan hati dan kesediaan untuk sentiasa membantu,” katanya.

Dalam hantaran sama, Bront turut menzahirkan rasa bangga terhadap Team Pani Puree yang dinobatkan sebagai Pasukan Pembelajaran Berasaskan Tindakan Terbaik bagi praktikum bersama SRK India.

Katanya, pengiktirafan itu menjadi cara yang cukup bermakna untuk mereka menamatkan perjalanan pengajian bersama.

Bront turut berterima kasih kepada pengurus akademik dan barisan profesor yang banyak memberikan bimbingan, selain mencabar cara pemikirannya sepanjang mengikuti pengajian.

Menurutnya, pengalaman itu bukan sekadar memberikan ilmu berkaitan pengurusan dan perniagaan, malah membuka ruang untuk melihat sesuatu perkara daripada perspektif berbeza.

Namun, penghargaan paling besar ditujukan kepada keluarganya yang sentiasa memberikan kesabaran, pemahaman, ruang dan sokongan walaupun komitmen pengajian menyebabkan masa bersama mereka menjadi lebih terhad.

Bront mengakui kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa sokongan insan di sekelilingnya yang memahami tuntutan pengajian dan kerjaya.

“Lima tahun untuk berjaya masuk. 16 bulan untuk mengharunginya. Berbaloi setiap detik. Akhirnya saya dapat berkata, saya berjaya melakukannya,” katanya.

Originally published by BH Online.