KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengekalkan kestabilan, ketangkasan dan keyakinan bagi terus menarik pelaburan berkualiti, kata Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan di ‘Asia School of Business sempena CKGSB ASEAN–RCEP Leadership Program’ , mengenai strategi menarik pelaburan dan meningkatkan keupayaan industri negara.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, pelabur mencari satu perkara: kepastian. Malaysia perlu kekal stabil, tangkas dan diyakini,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa pelaburan bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi lebih penting apabila ia diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat tempatan, rantaian bekalan yang lebih kukuh dan peluang ekonomi yang benar-benar dirasai rakyat.
“Dengan dasar yang jelas, pelaksanaan yang konsisten dan fokus kepada nilai tambah.
“Insya-Allah Malaysia mampu terus menarik pelaburan berkualiti yang memperkukuh ekonomi negara untuk jangka panjang,” tambahnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan peserta atas perbincangan yang dianggapnya sangat bermakna.