Asia School of Business

Edit Content

Lebih 400 pekebun kecil capai pensijilan RSPO

KUALA LUMPUR: Lebih 400 pekebun kecil telah mencapai Pensijilan Pekebun Kecil Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) di bawah Program Pekebun Kecil P&G, demikian menurut Laporan Impak Pusat P&G Untuk Pemilik Kecil Lestari (CSS) 2024.

Asia School of Business dalam satu kenyataan hari ini berkata seramai 400 lagi pekebun kecil persendirian dijangka akan menerima perakuan itu menjelang akhir 2025.

Program Pekebun Kecil P&G adalah kerjasama antara Asia School of Business, P&G, dan Temasek Foundation yang bertujuan untuk menggalakkan amalan pertanian yang mampan dan baik, serta memudahkan pengeluaran minyak sawit mampan yang diperakui daripada kalangan pekebun kecil persendirian di daerah Pontian dan Batu Pahat di Johor.

Laporan itu juga menyatakan bahawa 306 pekebun kecil yang diperakui telah menerima premium berjumlah US$42,630.00 (lebih RM200,000) pada 2021-2023 bagi hasil sawit mereka yang diperakui, sekali gus meningkatkan mata pencarian mereka.

“Melaksanakan amalan pertanian yang baik menggalakkan pengurusan sisa dan kimia yang lebih baik dalam kalangan pekebun kecil, termasuk menggunakan baja.

“Pusat Untuk Pemilik Kecil Lestari juga telah membantu penubuhan Pertubuhan Tani Niaga Lestari Negeri Johor, yang menyaksikan keahlian meningkat kepada lebih 700 pekebun kecil,” kata kenyataan itu.

Program ini juga telah membangunkan kurikulum ringkas tentang amalan pertanian yang baik dengan Pusat Untuk Pemilik Kecil Lestari telah melatih 1,972 pekebun kecil tentang amalan pertanian dan pengurusan sejak Julai 2022.

Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dengan lebih 275,000 pekebun kecil, yang secara kolektif menyumbang kira-kira 17 peratus daripada jumlah kawasan tanaman kelapa sawit negara. 

Originally published by Berita Harian.